PERATURAN LIGA


PERTANDINGAN BOLASEPAK LIGA SUBANG 2012 / 2013

PERATURAN  PERTANDINGAN LIGA & PIALA F.A.



1.         NAMA DAN PIALA

1.1       Peraturan ini terpakai kepada yang berikut:-

(a)       LIGA SUBANG (selepas ini dirujuk sebagai "Liga"); dan

(b)       PIALA F.A. SUBANG (selepas ini dirujuk sebagai "Piala F.A.") yang dianjurkan oleh Kelab Bolasepak Putra Subang dengan kelulusan Persatuan Bolasepak Selangor (selepas ini dirujuk sebagai "PS")

1.2       Pertandingan adalah terbuka kepada Warga Negara Malaysia dan mestilah terdiri dari anak tempatan  sahaja dan kad pengenalan beralamat di Parlimen Subang. Anggota Tentera dan Polis yang bertugas di Parlimen Subang juga dibenarkan (selepas ini dirujuk sebagai "Kelab").

2.         FORMAT PERTANDINGAN

2.1       LIGA

2.1.1    Liga adalah terdiri daripada:-
 
i)          Liga Super Subang – Akan dibahagi kepada 4 kumpulan
ii)         Liga Perdana Subang – Akan dibahagi kepada 4 kumpulan
2.1.2    Setiap pasukan akan bermain melawan  pasukan lain hanya sekali dalam setiap kumpulan. Pasukan yang menduduki tempat pertama dan tempat kedua setiap kumpulan selepas tamat peringkat kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir seperti berikut :

Peringkat Suku Akhir ( Jika 4 kumpulan )


P1.       A1       lwn.     D2                  
P2.       B1        lwn.     C2                  
P3.       C1       lwn.     B2                   
P4.       D1       lwn.     A2                  

Peringkat Separuh akhir 

P1        lwn.     P2       
P3        lwn.     P4                                                                               

2.2       PIALA FA

2.2.1    Piala FA akan dijalankan secara kalah mati (knock-out).

2.2.2    Undian Piala FA akan dibuat semasa undian Liga Subang.

3.         UNDIAN

Semua undian akan dijalankan oleh Jawatankuasa Pertandingan dan keputusan adalah muktamad.

4.         PENYERTAAN DAN BAYARAN

4.1       Permohonan daripada Kelab untuk menyertai Liga dan/atau Piala F.A. mesti disampaikan kepada Setiausaha Pertandingan selewat-lewatnya pada 24hb Disember 2012 atau mana-mana tarikh lain yang ditentukan oleh Jawatankuasa Pertandingan/Majlis (selepas ini dirujuk sebagai "Majlis").

4.2       Setiap permohonan mesti disertakan dengan bayaran Yuran  Pertandingan yang ditetapkan oleh PS bersama-sama dengan butiran pegawai kelab, warna jersi kelab dan butir-butir lain yang diperlukan.

4.3       Yuran Penyertaan untuk bermain dalam Liga Super Subang adalah sebanyak RM 400.00 setiap pasukan dan yuran untuk Liga Perdana Subang adalah sebanyak RM 300.00 setiap pasukan. Setiap pasukan yang bermain dalam Liga Subang layak bermain dalam Piala FA.

5.         PENDAFTARAN PEMAIN

5.1       Setiap Kelab hendaklah mendaftarkan minima 15 pemain dan maksima 25 pemain. Pemain mesti lah berumur 18 tahun keatas. Pemain yang berumur bawah 18 tahun / masih bersekolah perlu mendapat kebenaran daripada ibubapa sebelum dibenarkan untuk berdaftar. Kelab yang baru berdaftar hanya dibenarkan mendaftar 8 orang pemain Liga Super Musim 2011/2012.   

5.2       Hanya pemain yang didaftarkan oleh Kelab akan dibenarkan bermain dalam Liga dan Piala F.A.  Semua pemain mesti didaftarkan dengan menggunakan Borang Pendaftaran Pemain beserta dengan 2 keping gambar berwarna (yang diambil dalam masa 2 minggu sebelum pendaftaran dibuat) dan sesalinan MY KAD setiap pemain. Seseorang pemain hanya dibenarkan bermain dengan satu Kelab sahaja sama ada dalam Liga atau Piala F.A. pada satu musim.  Adalah menjadi tanggungjawab Kelab untuk memastikan bahawa pemain tersebut layak untuk mewakili Kelab tersebut.

5.3       Pendaftaran pemain dibuka selama sebulan (1) dari tarikh mula Liga bahagian tersebut.  Jawatankuasa Pertandingan berhak untuk mengubah syarat  jika perlu. Pendaftaran pemain perlu dihantar kepada Urusetia / Setiausaha Pertandingan dalam tempoh tiga (3) hari bekerja sebelum perlawanan kelab tersebut dan tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Pertandingan.

5.4        Seseorang pemain akan dianggap telah didaftarkan dan berhak untuk bermain bagi Kelab nya apabila beliau menerima Lesen Pemain. Setiap pemain mesti menunjukkan Lesen Pemain mereka sebelum permulaan perlawanan. Jika seseorang pemain gagal berbuat demikian, beliau tidak akan dibenarkan bermain.

5.5.1    Pengadil/Penolong Pengadil akan memeriksa Lesen Pemain pada setiap pemain dan pemain gantian sebelum pemain dan pemain gantian tersebut dibenarkan memasuki padang bagi setiap perlawanan. Seorang pegawai Kelab boleh berada bersama semasa pemeriksaan Lesen Pemain dibuat.  

5.5.2    Apabila pemain menerima kad merah, adalah menjadi tanggungjawab Pengurus Pasukan / Pegawai Kelab untuk menyerahkan Lesen Pemain terbabit kepada Pengadil / Penolong Pengadil sebaik sahaja perlawanan tamat.  

5.5.3    Pegawai Pasukan tidak berhak memegang Lesen Pemain Pasukan Lawan.  

5.6       Sekiranya seseorang pemain menandatangani borang pendaftaran untuk lebih daripada satu Kelab dalam pertandingan ini :-

(a)            pemain tersebut akan dianggap bersalah kerana salahlaku dan tidak akan dibenarkan bermain dalam perlawanan Liga dan Piala FA di samping tindakan lain yang boleh dikenakan oleh Jawatankuasa Pertandingan ke atas nya; dan

(b)          pemain tersebut tidak boleh bermain dalam sebarang perlawanan sehingga keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Pertandingan.  

5.7        Pemain yang enggan bermain untuk sesuatu Kelab tetapi namanya digunakan oleh Kelab itu mesti menulis surat rasmi Kelab asal untuk mendapatkan pelepasan rasmi. 

5.8.1    Jika Kelab yang berkenaan menggunakan nama pemain itu dalam senarai pasukan tetapi menurunkan orang lain untuk bermain, Kelab itu dianggap telah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.  

5.8.2    Tanpa prejudis kepada kuasa amnya, Jawatankuasa Pertandingan mempunyai hak mutlak dalam memutuskan hal-hal yang berkaitan dengan Peraturan Pertandingan.

5.9       Pemain yang bermain dalam Liga M (Liga Super, Liga Perdana, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Presiden, Piala FAM, Piala Belia & Liga Akademi, Liga KPM) boleh didaftarkan atau bermain dalam Liga ini dengan syarat kad pengenalan pemain itu mesti lah beralamat di kawasan Subang.

5.9.1    Bagi pemain-pemain yang menyertai Liga Malaysia, penyertaan dan pendaftaran pemain tersebut di LS adalah tertakluk setelah mendapat surat kebenaran dan kelulusan daripada pasukan asal pemain tersebut.   

5.10     Pemain yang digantung oleh FAM/FAS mesti mendapatkan surat rasmi atau pelepasan rasmi daripada FAM sebelum mereka layak didaftarkan untuk Liga dan Piala FA.

5.11     Jawatankuasa Pertandingan berhak menolak pendaftaran mana-mana pegawai atau pemain atas sebab tertentu selepas mendapat lapuran dari mana-mana pihak atas kelakuan pegawai atau pemain tersebut.

5.12     Kelab yang mendaftar pegawai dan pemain, hendaklah memastikan mereka bertanggungjawab menjaga nama baik kelab , jika berlaku insiden seperti pergaduhan atau memukul pegawai perlawanan, maka pegawai tertinggi kelab tersebut perlu bertanggungjawab.

6.         PERTANDINGAN

6.1       Setiap kelab yang menyertai Liga ini mesti menandatangani Surat Akuan PS yang disediakan oleh FAS dan mematuhi segala syarat, peraturan dan undang-undang kecil Liga serta akur dan mematuhi segala keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pertandingan.

6.2       PENENTUAN PASUKAN TERATAS ATAU PEMENANG

Dalam pertandingan Liga, penentuan pasukan-teratas atau pemenang akan mengikut susunan hiraki berikut :-

6.2.1    Pasukan yang mendapat mata yang tertinggi, dikira sebagai pemenang. Jika terdapat dua (2) atau lebih Pasukan mendapat mata yang sama maka penentuan hirarki seperti berikut :

a.         Pasukan yang mendapat mata yang tertinggi diantara yang terlibat, jika sama;

b.         Pasukan yang mempunyai jumlah perbezaan gol yang terbanyak didalam perlawanan peringkat liga diantara pasukan-pasukan terlibat, jika sama;

c.         Pasukan yang mempunyai jaringan gol terbanyak didalam semua perlawanan di peringkat liga di antara pasukan-pasukan terlibat, jika sama;

d.   Pasukan yang menang dalam perlawanan dengan pihak lawan, jika seri; 

e.         Pasukan yang mempunyai jumlah kemenangan terbanyak dalam semua perlawanan peringkat liga, jika sama;

g.         Di putuskan oleh Jawatankuasa Pertandingan dan keputusan ini adalah muktamad.

7.         PENGURUSAN

Liga akan ditadbir oleh Jawatankuasa Pertandingan, PS dengan kerjasama FAS.

8.         TARIK DIRI ATAU GAGAL BERMAIN

8.1       Jika mana-mana Kelab menarik diri daripada Liga atau Piala FA selepas cabutan dibuat, atau sebelum menamatkan jadualnya, tindakan tatatertib akan diambil terhadap Kelab tersebut oleh Jawatankuasa Pertandingan termasuk (kecuali atas sebab-sebab yang luar biasa) digantung serta-merta.

Sebagai tambahan, Jawatankuasa Pertandingan akan mengenakan denda yang tidak melebihi RM300.00 setiap perlawanan ke atas Kelab dan selagi denda itu tidak dibayar, Kelab berkenaan tidak akan dibenarkan bermain.

Semua pertandingan/perlawanan Liga yang disertai oleh Kelab yang menarik diri daripada Pertandingan dan/atau digantung pada bila-bila masa semasa musim Pertandingan akan dianggap sebagai tidak berlaku.

Sesuatu Kelab akan dianggap sebagai telah menarik diri daripada Liga jika ia gagal menurunkan pasukan untuk sejumlah tiga perlawanan semasa musim itu.

8.2       Kelab yang tidak hadir bagi sesuatu perlawanan untuk kali pertama dalam musim Liga akan dikenakan denda  seperti berikut :-

(a)       Liga Subang                          RM 100.00                 

(b)       Piala FA                                RM 100.00

8.3       Kelab yang tidak hadir bagi sesuatu perlawanan untuk kali kedua akan dikenakan denda seperti berikut :-

(a)       Liga Subang                          RM   300.00

(b)       Piala FA                                RM   300.00

Kelab yang tidak hadir bagi sesuatu perlawanan untuk kali ketiga akan digantung dari LS

8.4       Kelab hanya diberi tempoh selama 14 hari oleh Jawatankuasa Pertandingan untuk membayar denda yang dikenakan ke atasnya dan jika Kelab tersebut tidak membayar denda itu dalam jangkamasa yang ditetapkan, Jawatankuasa Pertandingan akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa Induk agar Kelab tersebut digantung dan sebarang keputusan Jawatankuasa Induk mengenai penggantungan Kelab tersebut adalah muktamad.

8.5       Pemain yang berdaftar dengan sesuatu Kelab yang menarik diri atau digantung daripada Liga atau Piala F.A. mesti memohon daripada Jawatankuasa Pertandingan untuk berdaftar dengan kelab baru dan keputusan ini akan dimaklumkan kepada semua ahli gabungan. 

Pegawai dari kelab yang menarik diri atau digantung daripada Liga atau Piala F.A. tidak dibenarkan berdaftar atau memegang jawatan didalam mana-mana kelab yang lain pada masa yang sama.

9.         BANTAHAN

9.1       Semua pertanyaan tentang kelayakan, kelulusan pemain, atau tafsiran Peraturan ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pertandingan.

9.2       Semua surat bantahan mestilah ditandatangani oleh Pengurus kelab.  Sebarang surat bantahan yang tiada ditandatangani oleh Pengurus kelab tidak akan dilayan.

9.2.1    Jawatankuasa Pertandingan akan memberi salinan bantahan kepada Kelab yang terlibat.

9.3       Tiada bantahan (termasuk bantahan yang berkaitan dengan ukuran padang atau kelengkapannya) akan dilayan, kecuali di mana :-

(a)       pengadu telah mengemukakan bantahannya secara bertulis dalam 3 salinan beserta bukti kepada Setiausaha Pertandingan dalam masa 72 jam (tidak termasuk hari Ahad dan Cuti Am selepas perlawanan itu) selepas kejadian yang dibantah  berlaku; dan Jawatankuasa Pertandingan akan mengadakan mesyuarat dalam masa satu minggu selepas menerima bantahan tersebut;  dan

(b)       Kelab yang  membuat aduan itu telah memaklumkan kepada pengadil dan membayar kepada Setiausaha pertandingan yuran bantahan sebanyak RM300.00 (Piala FA) RM500.00 (Liga Subang), dalam bentuk bayaran wangtunai sahaja yang akan diterima.

Sekiranya bantahan tersebut diterima atau ditolak, Kelab yang membuat bantahan akan kehilangan wang itu.

9.4       Jawatankuasa Pertandingan tidak akan mendapatkan pengesahan atau bukti bantahan daripada mana-mana pihak dan adalah menjadi tanggungjawab Kelab yang membuat bantahan untuk membuktikan kesahihan bantahan tersebut apabila menyerahkan surat bantahan tersebut kepada Jawatankuasa Pertandingan.

9.5       Setiap Kelab adalah bertanggungjawab untuk memastikan bahawa setiap pemainnya layak mewakili Kelab mereka.   Jika timbul kekeliruan atau kemusykilan kelab boleh merujuk kepada Jawatankuasa Pertandingan.

9.6       Sebarang pertikaian yang berlaku antara Kelab-Kelab dalam Liga akan dirujuk kepada pengimbangtaraan Jawatankuasa Pertandingan dan keputusannya akan mengikat semua pihak, tertakluk keputusan Jawatankuasa Rayuan.

9.7       Kelab yang terlibat dalam bangkangan, bantahan atau pertikaian berhak untuk menghantar tidak lebih daripada dua orang wakil (Pengurus diwajibkan) untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan, Lembaga Tatatertib atau Jawatankuasa Rayuan yang dilantik untuk mendengar kes tersebut.  Pemain-pemain tidak dibenarkan mewakili kelab kecuali didalam kes-kes tertentu.

9.8       Kelab yang kalah dalam bantahan boleh membuat rayuan melalui Setiausaha Pertandingan secara bertulis ke pada Jawatankuasa Rayuan dalam tempoh 72 jam selepas menerima keputusan bantahan dan Jawatankuasa Rayuan akan mengadakan mesyuarat dalam masa satu minggu selepas menerima rayuan Kelab tersebut.

9.9       Jawatankuasa Pertandingan / Lembaga Tatatertib berhak membuat keputusan atau menjatuhkan hukuman tanpa memanggil pihak terlibat sekiranya pihak Jawatankuasa Pertandingan / Lembaga Tatatertib merasakan lapuran Pengadil sudah memadai dan jelas.  

10.       KEPUTUSAN MUKTAMAD (RAYUAN)

Keputusan Jawatankuasa Rayuan mengenai rayuan adalah muktamad dan tiada rayuan dibenarkan lagi.

11.       JAWATANKUASA RAYUAN

11.1          Jawatankuasa ini mempunyai bidang kuasa seperti berikut :-

a.         Menentukan keputusan mengenai rayuan kes-kes yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pertandingan.

b.         Menjadi jawatankuasa timbangtara mengenai :

i.          Status pemain pemain
ii.          Perpindahan pemain pemain ke-kelab baru,
iii.         Pertikaian pemain dan pegawai pegawai kelab.

12.       PERLAWANAN

Semua perlawanan akan diadakan mengikut undang-undang perlawanan seperti yang diiktiraf oleh FAS/Persatuan Bolasepak Malaysia (selepas ini dirujuk sebagai "FAM") kecuali dinyatakan sebaliknya dalam Peraturan ini.

13.       PEMAIN YANG TIDAK BERDAFTAR
 
Mana-mana Kelab yang menurunkan pemain yang tidak berdaftar atau yang tidak layak akan dikenakan denda tidak kurang daripada RM300.00 dan tidak akan mendapat mata bagi perlawanan tersebut. Tindakan lanjut boleh diambil terhadap Kelab tersebut mengikut budi bicara Jawatankuasa Pertandingan dan sebanyak tiga (3) mata akan diberikan kepada Kelab lawan dengan jaringan  3 – 0.

14.       JADUAL PERLAWANAN

14.1     Jadual perlawanan bagi setiap Bahagian akan diatur oleh Jawatankuasa Pertandingan dan kelab/pasukan akan dimaklumkan sekurang-kurangnya 7 hari sebelum perlawanan dijadualkan untuk bermula. Jawatankuasa Pertandingan mempunyai hak untuk mengubah tarikh dan tempat perlawanan mengikut budi bicaranya.  

14.2     Mana-mana Kelab yang tidak bermain dalam sebarang perlawanan pada tarikh dan waktu yang ditetapkan tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Jawatankuasa Pertandingan akan dianggap sebagai bersalah kerana salah laku yang serius, dan Kelab tersebut akan dikenakan tindakan tatatertib.   

14.3     Kelab yang tidak hadir untuk bermain dalam perlawanan yang telah ditetapkan tarikhnya dengan alasan bahawa mereka tidak menerima jadual perlawanan akan dianggap sebagai tidak hadir untuk perlawanan itu mengikut Peraturan 14.2, dan sebarang penjelasan tidak akan diterima.

Adalah menjadi tanggungjawab Kelab untuk mendapatkan jadual perlawanan dan menyemak jadual perlawanan dengan  Setiauasaha Pertandingan.

14.3.1  Kelab perlu menyemak jadual perlawanan dengan Persatuan tiga (3) hari sebelum perlawanan.

15.       PENUNDAAN PERLAWANAN

Permohonan penundaan perlawanan tidak akan dilayan.

16        PENGADIL

16.1     Lembaga Pengadil FAS akan melantik seorang Pengadil dan dua orang Penolong Pengadil dari kalangan Pengadil-Pengadil yang berdaftar dengan FAS untuk setiap perlawanan.   

16.2     Tertakluk kepada Peraturan 16.4 di bawah, sekiranya mana-mana antara Pengadil dan Penolong Pengadil yang dilantik oleh FAS tidak hadir pada waktu yang ditetapkan bagi perlawanan itu, perlawanan itu akan ditunda ke tarikh lain yang akan diatur oleh Jawatankuasa Pertandingan.

16.3     Sesuatu perlawanan boleh diteruskan walaupun Pengadil dan Penolong Pengadil yang dilantik oleh FAS tidak hadir pada waktu yang ditetapkan bagi perlawanan itu sekiranya kedua-dua Kelab yang terlibat bersetuju untuk melantik Pengadil dan/atau Penolong Pengadil pengganti (selepas ini dirujuk sebagai "Pengadil Pengganti") dengan syarat bahawa kedua-dua Kelab tersebut dikehendaki menandatangani suatu Surat Akuan dalam bentuk yang dipersetujui oleh FAS di mana setiap Kelab tersebut mengakujanji bahawa ia menerima sepenuhnya perlantikan Pengadil Pengganti tersebut dan tiada bantahan akan ditimbulkan olehnya terhadap perlantikan tersebut kelak. 

Pengadil wajib memulakan perlawanan tersebut jika kedua-dua pasukan bersetuju untuk bermain dengan menandatangani surat Akuan Rasmi Penganjur.

16.4     Pengadil atau Penolong Pengadil yang dilantik oleh FAS yang gagal memenuhi tanggungjawab mematuhi masa untuk tarikh perlawanan Liga akan dianggap telah membuat salah laku yang akan ditangani oleh Lembaga Pengadil FAS.  

16.5     Sekiranya pemain atau pegawai sesuatu Kelab menyerang pegawai perlawanan (Pengadil / Penolong Pengadil / Pengadil Pengganti dan pegawai FAS yang dilantik) sebelum / semasa / selepas sesuatu perlawanan, Kelab itu akan direhatkan serta-merta daripada Liga sementara menunggu Jawatankuasa Pertandingan membuat keputusan.

16.5.1  Pemain yang terlibat akan digantung serta merta dari bermain dan perlu mengadap Lembaga Tatatertib untuk dijatuhkan hukuman. Sehingga keputusan dibuat oleh Lembaga Tatatertib, pemain tersebut tidak dibenarkan untuk bermain.

17.       TEMPOH PERLAWANAN

17.1     Liga Subang dan Piala FA

a.         Masa 35 min X 10 X 35 min  untuk peringkat Liga dan Piala FA.   Masa 35 min X 10 X 35 min untuk perlawanan Akhir Liga Perdana Masa 40 min X 10 X 40 min untuk perlawanan Akhir Liga Super dan Piala FA.

b.         Peringkat Suku Akhir /Jika seri , masa tambahan selama 10 Separuh Akhir minit setiap separuh masa akan diberi dan sekiranya seri maka tendangan dari tanda penalti akan diambil dan sekiranya seri selepas 5 tendangan penalti maka tendangan seterusnya adalah secara ’ Sudden Death ” untuk menentukan menang ( mengikut peraturan FAM )

c.         Untuk perlawanan pusingan pertama dan kedua Piala FA, sekiranya keputusan perlawanan berakhir dengan SERI maka 5 tendangan penalti akan diambil dan sekiranya masih SERI maka tendangan seterusnya adalah secara ’ Sudden Death ’

17.2     Piala F A akan diadakan secara Kalah mati 

17.3     Sekiranya tendangan dari tanda penalti tidak dapat dijalankan atas sebab sebab yang tidak dapat elakkan seperti hujan lebat, padang becak dan sebagainya maka Jawatankuasa Pertandingan akan menentukan tarikh dan masa untuk menjalankan tendangan tersebut.

Hanya pemain-pemain yang berada dalam padang semasa pengadil menangguhkan tendangan  dari tanda  penalti dibenarkan mengambil tendangan.

Setiap pasukan mesti  ada minima 9 pemain sebelum mula tendangan dari tanda penalti. Jika ada pasukan yang gagal mengikut peraturan maka Jawatankuasa Pertandingan akan membuat keputusan atas perkara tersebut.

18        SENARAI PEMAIN  ("Start List")

18.1     Sebelum perlawanan bermula, ketua pasukan yang bertanding akan menyerahkan 2 (dua) salinan  senarai pemain yang mengambil bahagian dalam perlawanan itu ("Start List") kepada Pengadil. Perhatian yang teliti mesti diberikan supaya nombor pendaftaran serta jersi adalah betul. Pengadil akan memajukan laporannya tentang perlawanan itu kepada Setiausaha Pertandingan dalam masa 48 jam selepas perlawanan (tidak termasuk hari Ahad dan Cuti Am).

(a).      Semua lapuran buang padang (kad merah) mesti sampai ke Pejabat Sekretariat Pertandingan dalam masa 48 jam (kecuali Sabtu & Ahad) oleh Pengadil.

18.2     Perlawanan tidak boleh dimulakan tanpa senarai pemain rasmi (start list) dan Lesen Pemain yang rasmi yang dikeluarkan oleh Pihak Penganjur.

18.3     Pemain yang tidak ada Lesen Pemain, tidak dibenarkan bermain.

19.       PEMAIN GANTIAN

Sebelum perlawanan bermula, Pengadil akan dimaklumkan nama tujuh (7) pemain gantian yang mungkin diturunkan, dan daripada itu lima (5) pemain gantian akan dipilih. Pemain boleh digantikan pada bila-bila masa semasa perlawanan berlangsung dengan kebenaran pengadil dan pemain yang digantikan itu tidak akan mengambil bahagian lagi dalam perlawanan tersebut.

Kelab yang tidak menyerahkan senarai nama pemain gantian tidak akan dibenarkan mendaftarkan pemain gantian selepas perlawanan bermula.

20.       AMARAN / PENGGANTUNGAN 

20.1     Pemain yang menerima 3 kad kuning   di gantung 1 perlawanan.

20.2    Pemain yang menerima 6 kad kuning digantung 2 perlawanan dan  akan mengadap Jawatankuasa tatatertib untuk tindakan selanjutnya.

20.3  Pemain yang diperintah keluar padang oleh pengadil akan secara automatik digantung 2 perlawanan dan Lembaga Tatatertib boleh menentukan jenis hukuman yang akan dikenakan  selepas menerima lapuran pengadil.

20.3.1  Pemain yang menerima Amaran kedua (2nd Caution) dalam perlawanan yang sama, digantung 1 perlawanan.

20.4     Pemain yang terlibat dalam pergaduhan sebelum/semasa/selepas perlawanan akan digantung serta merta dan dirujuk ke-Jawatankuasa tatatertib dan sehingga keputusan dibuat ,pemain tidak dibenarkan bermain

20.5     Sekiranya perlawanan dibatalkan  oleh pengadil atas sebab-sebab :

20.5.1   Akibat tindakan dari pasukan tuan rumah , semua kad kuning yang diterima oleh pasukan tuan rumah sahaja kekal. ( Pasukan yang tercatit dahulu dalam jadual ).

20.5.2  Akibat tindakan dari pasukan pelawat ,hanya semua kad kuning yang diterima oleh pasukan pelawat sahaja kekal. ( Pasukan yang tercatit kedua Dalam jadual ).

20.5.3  Jika perlawanan yang dihentikan dan dimainkan semula,akibat keadaan tidak mengizinkan berlaku pergaduhan, rusuhan , hujan lebat, padang banjir dan sebagainya mengikut lapuran pengadil maka semua kad kuning yang diterima oleh kedua dua  pasukan di batal. Tetapi kad kuning kedua dan kad merah kekal.

20.6     Jika pengadil memberhentikan permainan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan ( seperti yang dinyatakan di 20.5.3 ) dan tidak dapat diteruskan, Jawatankuasa Pertandingan akan menetapkan tarikh/tempat dan masa untuk perlawanan tersebut dimainkan semula dengan kedudukan  0 – 0 semula walaupun ketika perlawanan diberhentikan pada minit ke berapa pun atau kedudukkan jaringan telah berubah.

20.6.1  Jawatankuasa Pertandingan juga berhak untuk membuat keputusan atas jaringan semasa Pengadil memberhentikan Perlawanan atas sebab sebab yang tidak dapat di elakkan selepas menerima lapuran Pengadil.

21.       PEMBATALAN PERLAWANAN

Sekiranya perlawanan ditunda atau dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dikawal oleh kedua-dua Kelab, perlawanan akan diulang pada tarikh yang akan diatur oleh Jawatankuasa Pertandingan.

Jika perlawanan dibatalkan akibat tindakan ahli, pemain, penyokong atau pegawai salah satu pasukan, maka suatu siasatan akan diadakan dan Jawatankuasa Pertandingan akan menentukan keputusan perlawanan.

Perlawanan juga boleh dibatalkan atau dihentikan kerana cahaya yang tidak mencukupi atau keadaan padang yang tidak sesuai. Walaubagaimanapun, Pengadil merupakan satu-satunya kuasa yang akan menentukan sama ada untuk membatalkan atau menghentikan perlawanan tersebut.

22        WAKTU BERMULA PERLAWANAN

Waktu bermula perlawanan, tertakluk kepada pertukaran waktu mengikut budi bicara Pengadil, adalah seperti berikut:-

(a)       Perlawanan petang :-

3.30 petang tidak lewat 3.45 petang
5.00 petang tidak lewat 5.15petang

(b)       Perlawanan malam :-

Seperti yang dinyatakan dalam jadual perlawanan atau dimaklumkan oleh Urusetia Jawatankuasa Pertandingan.  

23.       PEMAIN TIDAK CUKUP

23.1     Tiap-tiap Kelab mestilah menurunkan tidak kurang daripada sembilan (9) orang pemain untuk memulakan perlawanan separuh masa pertama.  Apabila sesuatu Kelab menurunkan kurang daripada sembilan (9) pemain pada permulaan separuh masa kedua, maka Kelab itu akan dianggap telah mengaku kalah dengan memberikan peluang untuk kemenangan tanpa bertanding (walkover) dengan jaringan 3 - 0 dan jika perlawanan itu diteruskan, ia dianggap sebagai perlawanan persahabatan.

Sekiranya perlawanan dimulakan dengan 9 Pemain dan salah seorang pemain meninggalkan padang akibat kecederaan atau atas arahan Pengadil maka perlawanan akan dihentikan sekiranya pasukan tersebut gagal mencari penganti untuk mencukupkan jumlah minima 9 pemain dan pasukan lawan akan diberi kemenangan walk over dengan jaringan 3 - 0.     

23.2     Apabila sesuatu Kelab menurunkan kurang daripada sembilan (9) orang pemain buat kali pertama, Kelab itu akan dikenakan denda sebanyak RM300.00 dan denda itu mesti dibayar dalam masa 14 hari.

Jika kesalahan itu berulang, dendanya ialah RM400.00 dan untuk kali ketiga Kelab itu akan dikenakan denda sebanyak RM 500.00 dan denda itu mesti dibayar dalam masa 14 hari dari tarikh perlawanan. Kelab yang tidak membayar denda dalam masa yang ditetapkan itu tidak akan dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam Liga dan Piala F.A.

23.3     Jawatankuasa Pertandingan berhak membuat keputusan atas jaringan gol semasa pengadil memberhentikan permainan, sekiranya pasukan lawan tidak dapat meneruskan permainan ( 23.1 ) 

24        WARNA JERSI

24.1     Apabila warna jersi kedua-dua Kelab adalah sama, Kelab yang namanya tercatit dahulu dalam senarai jadual perlawanan (Start List) adalah sebagai Tuan Rumah (Home) akan menukarkan jersinya. Penjaga gol semasa bermain dalam perlawanan akan memakai warna yang berbeza daripada kedua-dua Kelab yang bertanding dan juga berbeza daripada pengadil.

24.2     Kecuali penjaga gol, semua pemain mesti memakai jersi yang lengkap dengan pelapik tulang kering (shin guard), dan pemain akan diberikan amaran jika engkar. Kesalahan yang diulang akan menyebabkan Kelab itu disingkir daripada Liga.

24.3     Semua jersi hendaklah bernombor. Mana-mana pasukan yang tidak mematuhi Peraturan  ini akan dikenakan denda tidak lebih daripada RM300.00.

24.4     Hanya Jersi bernombor 1 hingga 25 sahaja dibenarkan dan pemain perlu mengunakan nombor yang sama sehingga tamat pertandingan musim 2012 / 2013.

25.      PEMINDAHAN PEMAIN

25.1     Mana-mana pemain yang ingin berpindah ke Kelab lain pada hujung sesuatu musim, mesti memohon secara bertulis kepada Jawatankuasa Pertandingan untuk mendapatkan kelulusan. Kelulusan untuk melepaskan pemain itu hanya boleh diberikan apabila Pengurus Kelab yang melepaskannya mengesahkan secara bertulis bahawa perkhidmatan pemain yang dilepaskan itu tidak lagi diperlukan oleh Kelab tersebut.  

25.2     Pemain yang bermain didalam Pertandingan Piala F.A. tidak dibenarkan berpindah ke Kelab lain untuk bermain didalam Pertandingan Liga pada musim yang sama.

26.       KENAIKAN/PENURUNAN KEDUDUKAN UNTUK MUSIM 2013 / 2014

1 pasukan terbawah dari setiap kumpulan Liga Super Subang akan diturunkan ke Liga Perdana Subang dan 1 pasukan teratas setiap kumpulan Liga Perdana Subang akan dinaikkan ke Liga Super Subang.

2 pasukan terbawah setiap kumpulan Liga Perdana Subang akan terkeluar dari saingan Liga Subang 2012 / 2013 sekiranya ada pasukan baru yang memohon untuk bermain dalam Liga Subang Musim 2013 / 2014.
 
27.       TIKET MASUK

Peruntukan tiket masuk akan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Pihak Penganjur.

28.       PIALA

28.1     Apabila Kelab yang menang telah dipastikan, Pihak Penganjur akan memberikan piala yang sesuai semasa penyampaian hadiah kepada Kelab itu dan ia  bertanggungjawab untuk memulangkan piala itu dalam keadaan baik dan sempurna kepada pihak Penganjur Setiausaha Pertandingan.  

28.2     Sebagai tambahan, sekiranya terdapat hadiah dalam bentuk wang tunai, pihak Penganjur juga akan memberikan hadiah kepada (25 pemain dan 4 pegawai) Kelab yang menjadi johan, naib johan, pemenang tempat ketiga dan pemenang tempat keempat.  

28.3     Semua hadiah wang tunai (dengan cek) hanya akan dibayar kepada Pemenang atas persetujuan Pengurus Kelab dan pihak Penganjur.

28.4     Pihak Penganjur akan memberi hadiah dalam bentuk wang tunai serta hadiah lain seperti berikut :

28.4.1              Liga Super Subang

Juara Liga Super - RM 5,000.00 berserta Piala Pusingan, Piala Iringan & Medal       
Naib Juara Liga - RM 3,000.00 berserta Medal
Tempat 3 & 4 - RM 1,000.00 setiap pasukan berserta Medal

28.4.2              Liga Perdana Subang

Juara Liga Perdana - RM 3,000.00 berserta Piala Pusingan, Piala Iringan & Medal               
Naib Juara Liga - RM 2,000.00 berserta Medal
Tempat 3 & 4 - RM 1,000.00 setiap pasukan berserta Medal

28.4.3              Piala FA

Juara Piala FA - RM 3,000.00 berserta Piala Pusingan, Piala Iringan dan Medal
Naib Juara Piala FA - RM 2,000.00 berserta medal       
Tempat 3 & 4 - RM 1,000.00 setiap pasukan berserta Medal

28.4.4              Piala Sumbangsih

Juara Piala Sumbangsih - Piala Pusingan, Piala iringan dan Medal
Naib Juara - Medal

28.4.5              Liga Super Subang

Kasut Emas - Piala dan Sepasang Kasut NIKE
Kasut Perak - Piala dan Sepasang Kasut NIKE

28.4.6              Liga Super Perdana

Kasut Emas - Piala dan Sepanjang Kasut Adidas
Kasut Perak - Piala dan Sepanjang Kasut Adidas

28.4.7              Pasukan Terbaik sepanjang Pertandingan

Liga Super - Piala dan Wangtunai RM 1,500.00
Liga Perdana - Piala dan Wangtunai RM 1,500.00
 
29.       PADANG PERLAWANAN     

29.1     Semua padang yang akan digunakan akan ditentukan oleh Setiausaha Pertandingan.

30.       BOLA PERLAWANAN

30.1.    Bola untuk perlawanan hendaklah disediakan oleh kedua dua pasukan.

30.2     Jawatankuasa Pertandingan akan menyediakan bola untuk perlawanan Akhir.

31.       MATA PERLAWANAN

31.1     Pasukan yang menang akan mendapat 3 mata, 1 mata bagi pasukan yang seri dan tiada mata bagi pasukan yang kalah.                        

32.       SURAT-MENYURAT

32.1     Semua notis dan surat yang dikehendaki oleh Peraturan ini mesti dialamatkan kepada

Setiausaha Pertandingan Liga Subang
No.65B, Jalan SS 6/10
Kelana Jaya, Petaling Jaya
Tel : 03 – 78042781 Fax : 03 - 78042784

32.2     Semua surat menyurat daripada kelab kepada pihak Penganjur mesti ditandatangani oleh Pengurus Kelab.  Surat yang ditandatangani oleh wakil atau bagi pihak tidak akan diterima.

33.       KEADAAN LUAR JANGKA

Jika timbul sebarang keadaan luar jangka yang peruntukannya tidak ada dalam Peraturan ini, Jawatankuasa Pertandingan akan menangani keadaan itu sebagaimana yang ia adalah dianggap wajar dan keputusan Jawatankuasa Pertandingan terhadapnya adalah muktamad.

34.       MAHKAMAH

Ahli-ahli Kelab, lain-lain badan dan pegawai-pegawainya tidak dibenarkan membawa pihak Penganjur ke Mahkamah dalam apa jua keadaan.  Jika Kelab tersebut engkar, maka Kelab tersebut boleh dibatalkan penyertaan nya.

35.       PEMINDAAN PERATURAN

35.1     Pemindaan Peraturan hanya boleh dibuat oleh pihak Penganjur, dan sebarang pindaan akan dimaklumkan kepada semua Kelab yang bertanding dalam Liga Subang.

35.2     Apabila membuat permohonan untuk menyertai pertandingan, setiap Kelab akan dianggap sebagai telah bersetuju dengan Peraturan ini dan bersetuju untuk mematuhi  keputusan  Jawatankuasa Pertandingan / Pihak Penganjur.

36.       KESAN PERATURAN

36.1     Peraturan ini akan terpakai setelah pengundian dilaksanakan sehingga tamat Liga subang musim 2012 / 2013.  

 

 

 

 

 

1 comment:

  1. 18 SENARAI PEMAIN ("Start List")


    18.1 Sebelum perlawanan bermula, ketua pasukan yang bertanding akan menyerahkan 2 (dua) salinan senarai pemain yang mengambil bahagian dalam perlawanan itu ("Start List") kepada Pengadil. Perhatian yang teliti mesti diberikan supaya nombor pendaftaran serta jersi adalah betul. Pengadil akan memajukan laporannya tentang perlawanan itu kepada Setiausaha Pertandingan dalam masa 48 jam selepas perlawanan (tidak termasuk hari Ahad dan Cuti Am).


    18.2 Perlawanan tidak boleh dimulakan tanpa senarai pemain rasmi (start list) dan Lesen Pemain yang rasmi yang dikeluarkan oleh Pihak Penganjur.

    **mohon jawantankuasa pertandingan periksa peraturan ini...adakah ia digunakan oleh semua pengadil dan semua pegawai di semua venua perlawanan???

    ReplyDelete

Jangan salahgunakan kebebasan bersuara yang diberikan. Ulaslah dengan berhemah dan tidak menggunakan perkataan atau ayat yang boleh menyinggung perasaan kaum atau agama tertentu. PIHAK ADMIN AKAN MEMADAM MANA-MANA ULASAN YANG MENYINGGUNG PERASAAN MANA-MANA PIHAK. Berikan ulasan yang membina demi kemajuan dan pembangunan sukan bolasepak di kawasan kita ini. Harap bekerjasama.